Monday, 7 March 2011

benarkah usia...








DALAM urusan percintaan, ada beberapa persamaan yang pastinya dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia.
Misalnya, bangkit perasaan berbunga-bunga saat sedang jatuh cinta, sehingga ada di antara anda mengalami tekanan perasaan, rasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya, ia jelas berbeza.
Usia 30-an
Ini merupakan saat di mana anda mula memikirkan alam perkahwinan dan mencari seseorang untuk dijadikan teman hidup. Tetapi malangnya, anda seringkali diketemu dengan orang yang tidak tepat, di saat atau di tempat yang tidak sepatutnya anda menjalinkan hubungan dengannya.
Anda juga akan berfikir, kenapa begitu sulit untuk bertemu dengan seseorang seperti yang diidam-idamkan selama ini.
Selain itu, anda akan memikirkan impaknya apabila anda mula jatuh cinta dengan seseorang yang tidak secocok, seperti yang didambakan selama ini. Akhirnya, masalah besar akan timbul. Agar tidak terlepas daripada segala kebimbangan, langkah yang disenaraikan minggu ini seharusnya diterapkan.
* Tentukan batas waktu
Saat anda merencanakan untuk mendirikan rumah tangga, tetapi pasangan tidak sependapat dengan anda dengan memberi pelbagai alasan serta pertimbangan, langkah pertama adalah dengan menentukan batasan waktu.
Beri kekuatan kepada diri sendiri, bilakah masa terbaik bagi menamatkan zaman bujang. Misalnya, anda menetapkan satu tarikh lain untuk memulakan bicara pernikahan dengan pasangan.
Tiba sahaja waktu yang telah anda tentukan, katakan kepadanya hasrat atau tujuan dan keinginan anda yang terpendam.
Sekiranya, tiada sebarang perubahan atau si dia masih terpinga-pinga untuk menjawab lamaran anda, kenapa harus membuang masa. Jadi, lakukan perkara yang difikirkan terbaik untuk anda.
* Fleksibel
Setiap orang mempunyai minat dan hobi yang berbeza-beza. Oleh itu, walaupun anda saling menyintai, masih timbul hal-hal kecil yang harus dihadapi. Dalam hal ini, bincang sebab dan cara penyelesaiannya.
Apabila pasangan memilih untuk menonton televisyen di rumah dan anda pula mengajaknya keluar, cari jalan penyelesaian. Misalnya, ajak dia minum kopi di sebuah kafe, kemudian barulah membawanya menonton pertandingan bola sepak kegemarannya di rumah. Ingat, tiada siapa yang dapat mengubah seseorang, selain insan yang benar-benar dia sayangi.
Dalam urusan percintaan, terdapat beberapa persamaan yang pastinya akan dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia. Misalnya, perasaan berbunga-bunga saat sedang dilamun cinta, sehingga membuatkan seseorang berasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya jelas berbeza.
Usia 40-an
Biasanya pada usia ini, mereka yang gagal dalam perkahwinan akhirnya akan memilih jalan singkat iaitu penceraian. Mereka yang gagal dalam perkahwinan pertama dulu, sekiranya kembali bercinta, biasanya mereka sudah lupa cara-cara menjalin hubungan atau berasa ragu untuk melakukan sesuatu walaupun telah menemui pasangan yang secocok.
* Perbaiki keterampilan bercinta
Apabila anda ingin bercinta buat kali kedua selepas putus ikatan perkahwinan, anda seharusnya menenangkan diri dahulu. Lakukan introspeksi dengan meminta seorang rakan menjadi teman kamu. Tanyakan kepadanya, apa kekurangan yang ada pada diri anda atau adakah anda perlu memperbaiki penampilan. Mungkin anda tidak menyedarinya secara langsung.
Satu perkara yang perlu diingatkan, perubahan yang anda lakukan tidak bererti anda harus berubah secara drastik. Anda tidak perlu melakukan pembedahan plastik untuk memperbaiki hidung atau anggota lain yang dianggap boleh memberi tuah kepada anda.
* Elak bercinta selepas cerai
Bagi sesetengah pasangan, mereka dilihat begitu terdesak untuk bercinta lagi sebaik sahaja baru bercerai. Apabila bercerai, anda memerlukan waktu untuk menyembuhkan luka lama dan bermuhasabah diri, misalnya mengapa terjadi perceraian. Ini penting agar kegagalan tersebut tidak berulang kembali.
Untuk mengetahui bahawa anda benar-benar ingin bercinta lagi, tanyakan kepada diri sendiri:
nAdakah anda menganggap semua lelaki tidak guna?
nAtau adakah semua wanita materialistik?
nAdakah anda terikat dengan pelbagai kegiatan, selain anak-anak dan pekerjaan?
nAdakah anda dapat mengendalikan diri dan dapat membentuk kehidupan percintaan baru?
Sekiranya jawapan anda 'ya' untuk semua pertanyaan di atas, bererti anda memiliki sikap dan pendirian yang sebenar.
* Hati-hati dengan buah hati
Tiada masa untuk bercinta? Luangkan waktu untuk bercinta dengan membawa anak-anak ke rumah sanak keluarga mahupun ibu bapa atau pengasuh yang boleh dipercayai. Anda tidak perlu memperkenalkan teman baru kepada anak-anak, tetapi cukup hanya mengatakan kepada mereka bahawa jika mereka memiliki kawan, maka anda juga memerlukan teman baik.
Perlu diiingatkan, anda seharusnya berterus-terang kepada anak-anak tentang apa juga yang anda rasakan ketika itu. Jangan sesekali menyimpan rahsia, takut nanti perkara tersebut terlepas ke telinga mereka tanpa diduga daripada pihak lain. Jika ini berlaku, masalah lain pula akan muncul. - NOOR HASLIZA NUSI

Azam mendidik anak


Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?

"BELAJARLAH memahami setiap tindakan anak kerana dengan cara inilah anda menggalakkan komunikasi yang lebih baik."


KITA sering mendengar resolusi tahun baru kebanyakan orang adalah untuk berhenti merokok, lebihkan senaman atau mengubah tabiat pemakanan. Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?
Mungkinkah terdapat teknik mendidik anak yang perlu anda tukar? Ataupun terdapat tabiat anak anda yang perlu diubah?
Berikut adalah sesetengah resolusi mendidik anak yang mungkin boleh dipertimbangkan.
Jadikan contoh
Kebanyakan ibu bapa tidak sedar akan pengaruh mereka terhadap anak-anak.
Anak biasanya cenderung terpengaruh dengan tabiat merokok, pengamalan diet yang tidak sihat, tidak memakai topi keledar dan sebagainya jika salah seorang daripada ibu bapa mempunyai tabiat buruk.
Ibu bapa perlu menjadi model yang baik sama ada dari segi tingkah laku mahupun kaedah pengurusan emosi.
Mendisiplinkan anak
Belajar mendisiplinkan anak secara efektif amat mustahak. Mendidik mereka kaedah bertindak balas dan mengurangkan tingkah laku yang buruk adalah salah satu contohnya.
Disiplin dan hukuman bukan perkara yang sama. Jika anda berdepan dengan masalah mendisiplinkan anak, maka jangan segan mendapatkan bantuan. Setiap kanak-kanak adalah berbeza. Teknik didikan tertentu tidak semestinya boleh diaplikasikan untuk semua anak.
Didikan adalah sebahagian besar daripada disiplin. Jika anak melenting, mengehadkannya daripada menikmati pelbagai keistimewaan mungkin satu tindakan yang wajar.
Tetapi, si anak tidak mungkin belajar atau tahu apa yang betul sehinggalah anda menunjukkan kepadanya. Luangkan masa untuk menerangkan perilaku yang betul kepada anak.



Memahami anak
Adakah anda memahami perkara yang dilakukan oleh anak? Mengapa anak kecil memandang anda dan sejurus selepas itu memukul abangnya atau melontarkan sesuatu ke atas lantai? Tidakkah dia tahu itu sesuatu yang salah?
Dia mungkin tahu tetapi tidak bermakna apa yang dilakukan itu jahat. Sebaliknya, kebanyakan kanak-kanak berada dalam kedudukan menerokai had mereka. Inilah satu proses normal dan merupakan sebahagian daripada perkembangan semula jadi. Jika anda berusaha memahami rasional anak, boleh jadi kemarahan dan reaksi anda tidaklah seteruk yang disangkakan.
Sebahagian besar ibu bapa telah mengukuhkan perilaku buruk anak tanpa disedari. Keadaan ini boleh berlaku apabila anak disalurkan dengan pelbagai perhatian negatif dan tidak konsisten. Sekiranya anda masih tidak dapat memahami mengapa anak bertindak sedemikian, maka ini mungkin bermakna teknik mendisiplinkan anak anda itu tidak berkesan.
Pemakanan sihat
Dewasa ini kebanyakan ibu bapa dilihat cenderung memanjakan anak. Malah, mereka juga terlupa meminta anak membasuh pinggan mangkuk setiap kali selepas makan. Sepatutnya, anak perlu belajar menghabiskan makanan agar tidak meninggalkan separuh daripada sajian tersebut di dalam pinggan.
Jika anda sentiasa membiarkan lebihan makanan berada dalam pinggan secara konsisten, tabiat ini akan terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa. Untuk menyelesaikan masalah ini, anda mungkin boleh memberikan hidangan kecil kepada anak bagi melatihnya menghabiskan semua makanan. Sediakan juga pilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan, sayuran, daging dan produk tenusu rendah lemak. Hadkan pengambilan minuman bersoda, tinggi gula dan makanan kaya lemak dalam diet pemakanan anak anda.
"GALAKKAN anak aktif dalam aktiviti fizikal bagi mengelakkan risiko menjadi obes."


Aktiviti fizikal
Bilangan kanak-kanak dan anak remaja yang obes kian bertambah. Menghabiskan masa berjam-jam di depan televisyen, bermain permainan video dan komputer adalah antara puncanya. Jadi, selain pengamalan diet yang seimbang, pastikan anak diberi masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti fizikal secara kerap untuk kekal sihat dan cergas.
Berkomunikasi secara efektif
Adakah anda tahu bagaimana berinteraksi dengan anak? Apakah yang akan anda lakukan apabila anak bermasalah? Belajar berkomunikasi dengan anak jelas merupakan satu kemahiran penting.
Sebenarnya terdapat banyak perkara yang boleh dibincangkan bersama anak. Misalnya, pendidikan seks, bahaya merokok dan penyalahgunaan dadah serta alkohol.
Sentiasa bersedia
Apakah yang akan anda lakukan pada kali pertama berdepan dengan masalah didikan anak yang spesifik? Misalnya, ketika anak bercakap bohong, mencuri atau ponteng sekolah? Anda mungkin tidak bersedia untuk setiap situasi tetapi perancangan awal mungkin dapat membantu.
Membuat perancangan awal juga boleh membantu anda berdepan dengan anak-anak yang sukar dikawal.

Menilai Cinta

SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap orang.
Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan.
Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna.
Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan.
Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:
1. Lupakan masa lalu
Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin.
Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.
2. Temui ramai orang
Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna.
Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.
3. Ubah penampilan
Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan.
Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.
4. Jangan terburu-buru
Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.
5. Jangan terlalu memilih
Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.
6. Buat keputusan
Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.

Friday, 4 March 2011

kisah lama jadi sejarah kini


Pengkisahan sejarah tentera adalah cerita seribu satu malam yang boleh mengantukkan si pendengarnya. Inilah warisan yang akan saya bawakan untuk tatapan saudara dan saudari yang ingin mengetahuinya...

...hari ini sekali lagi, kita di paparkan suatu sejarah yang tercatat di Dataran Merdeka mengenai pameran aset ketenteraan yang menggambarkan kekuatan mengatasi kelemahan. Hanya insan yang ada daya tahan dan jati  diri mampu mengatasi segala rintangan, halangan mahupun saat tercabar oleh sebarang situasi.

Kita masih bernasib baik kerana musuh negara telah lama padam dalam sejarah negara dan tentera darat berjaya mengatasi situasi itu semasa darurat tempoh hari...ramai terkorban sama ada dari pasukan tempur, bantuan tempur dan logistik. Inilah yang telah diharungi sepanjang 78 tahun TD di persada negara.

...1 Mac 2011, aku menitis air mata mengenang titisan darah wira negara yang gugur di medan perang. Bermula dari Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, kesannya menusuk kalbu sama ada diri bekas tentera atau keluarga yang ditinggalkan...

Hari ini ada para pegawai dan anggota yang hadir sebagai pempamer peralatan tentera mengikut kor tersendiri dan menganggap itulah jiwa mereka. Selama berpuluh tahun, mereka ini akan berhadapan pelbagai situasi tidak menentu, di bandar, pekan, kampung dan hutan belantara maka segenap arahan yang diarahkan tetap patuh... menunjukkan kehebatan fizikal dan mental kepada rakyat yang senang-lenang dibuai mimpi. Ada kalanya, arahan datang silih berganti kerana banyak arahan yang terpaksa dituruti selagi kita dibayar gaji maka itulah periuk nasi yang mesti dijaga agar nasi tidak menjadi bubur.

bila sudah bersara, pameran sebegini mengingatkan kembali kisah semasa bekerja tempohari dan ramai kawan lama di susuri dan berjumpa kembali...macam saudara-mara yang dah lama tak jumpa.



 

Thursday, 3 March 2011

kisah awal aku jadi tentera dalam kor jurutera tentera darat

...di kisahkan oleh yang empunya cerita, memang kepingin nak jadi tentera kerana hatiku suka benda-benda yang mencabar. umurku ketika itu baru memasuki 18 tahun dan tanpa menoleh ke belakang, dapat saja tawaran dan waren ktmb terus naik keretapi jam 12 malam menuju gelap kelam dan kabut tibalah di stn kluang, johor dari stn ss, perak.

...melapor diri di kem mahkota, kluang selama beberapa waktu penuh minat  berkawad dan bertempik serta bertempiaran di sekitar hutan banat, entah apa lagi dibuli oleh staf mat siam serta kuncunya...maka tamatlah latihan tentera selama 4 bulan.

...ini kisah puluhan tahun dulu...dah bersara dari tentera sejak 1 jan 2004.

JUBLI EMAS RAJD di Taiping Bandar Warisan tahun 2003


Aku sebagai pegawai pengiring Ketua Jurutera semasa keberangkatan Paduka Seri Sultan Perak selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Askar Jurutera DiRaja


22 April 2003 - ketika itu aku sebagai Penolong Pegawai Pemerintah 1 Skn RAJD, Kem Sanggro, Taiping menyelia pelbagai tugasan sempena sambutan Jubli Emas RAJD yang berpusat di unit aku. Maka berbondong-bondonglah sekalian hulubalang dari segala ceruk-rantau berkumpul di desa ini membawa pelbagai jenis pakaian tentera dari No. 1 hingga No. 10 untuk meraikan pelbagai acara yang telah diatur sejak tahun 1999 lagi... 
Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah ditubuhkan pada 22 April 1953. Seperti Kor-kor lain juga, RAJD telah mengalami berbagai perubahan sejajar dengan perkembangan dan pembesaran Tentera Darat Malaysia. RAJD bermula dengan peranan awal yang terhad dalam membantu operasi Tentera Persekutuan menentang komunis, khasnya dalam tugas-tugas memusnah bom, membersih kawasan periuk api, membina jalan, jambatan, landasan kapal terbang serta menyediakan bekalan air. Sekarang RAJD mampu memainkan peranan yang lebih luas dalam membantu pembangunan negara setelah dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan peralatan dan jentera serta mempunyai pegawai-pegawai dan warga RAJD yang berkemahiran tinggi.
Dengan cogan kata Berusaha Berfaedah RAJD yang pakar dalam kejuruteraan tentera terbukti telah menyumbangkan banyak faedah kepada masyarakat dan negara termasuk menyediakan tenaga mahir kepada sektor awam apabila anggotanya bersara. Sebagai tanda pengiktirafan, DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong telah berkenan mengurniakan gelaran 'Diraja' pada 6 Jun 1992. Seterusnya pada 5 Jun 2004, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sekali lagi telah berkenan mengurniakan Panji-Panji Diraja kepada RAJD.
Sejarah penubuhan telah bermula dengan rasminya pada 22 April 1953 dengan penubuhan pasukan Jurutera Malaysia pertama dikenali sebagai 76th Federal Field Squadron di Balaclava Lines, Kluang. Anggota-anggota dari pasukan ini telah dilatih di Pusat Latihan Tentera British bertempat di Nee Soon, Singapura dan Kluang..
Apabila negara kita hampir mencapai kemerdekaan, Tentera British telah merancang untuk membubarkan RE Field Regiment dan menyerapkan anggota daripada Rejimen kepada Federation Engineers. Pada 15 Julai 1957, Skuadron Jurutera Kedua telah ditubuhkan dengan kekuatan seramai 201 anggota daripada 75th Malayan Field Squadron. Sementara itu, 76th Federal Field Squadron,Federation Engineers telah ditukar designasi kepada Skuadron Jurutera Pertama kerana ia merupakan pasukan pertama jurutera dalam Tentera Persekutuan.
Semasa penubuhan 1 Skuadron Jurutera dan 2 Skuadron Jurutera, Cawangan Jurutera Tentera Persekutuan telah ditubuhkan di Kuala Lumpur dengan diketuai oleh Leftenan Kolonel RA Blakeway OBE RE sebagai Ketua Jurutera yang pertama. Sekarang, organisasi ini dikenali sebagai Jabatan Arah Jurutera Markas TD yang diketuai oleh Ketua Jurutera berpangkat Brigedier Jeneral.